Assalamualaikum,
Hari ini, tema Maal Hijrah, 1Malaysia 1Ummah dicanangkan ke seluruh negara.Para Ustaz kerajaan(yang makan gaji dengan kerajaan) dikerah untuk memberi kuliah, DJ radio IKIM diperah untuk meluaskan promosi mengenai Maal Hjrah dan perpaduan umah.Tak ketinggalan khutbah khutbah jumaat yang bertajuk 1Malaysia, 1Ummah dibaca di masjid masjid dan media arus perdana dimanupulasikan sepenuhnya untuk mengajak rakyat bersatu dan berpadu tanpa mengira bangsa, agama dan latarbelakang budaya.Tokoh tokoh tertentu seperti ketua pengarah IKIM digunakan sebaik mungkin untuk bercakap mengenai perpaduan.
Nampak bersungguh sungguh kerajaan mahukan perpaduan tetapi malangnya tiada penjelasan dan tiada perbincangan yang komprehensif didengar mengenai asas perpaduan yang hendak digunapakai.Perpaduan ini kalaupun berjaya dibentuk boleh diibaratkan seperti satu binaan konkrit yang tidak mempunyai tulang besi yang akan runtuh pada bila bila masa.Penyertaan PAS dalam BN satu ketika dulu menjadi bukti nyata bilamana perpaduan yang tidak mempunyai asas yang dipersetujui bersama akhirnya berkecai.
Oleh itu, agak menghairankan bilamana kerajaan yang ada hari ini tidak belajar dari kesilapan lampau dan masih bertegas dengan bentuk perpaduan yang sama dan mengecewakan apabila mendengar kuliah kuliah para ustaz dan syarahan tokoh tokoh yang diiktiraf kerajaan serta khutbah oleh tok tok khatib masjid kerajaan yang banyak kali membaca Hadis dan ayat ayat Al Quran tetapi kelu untuk memperkatakan mengenai asas yang perlu untuk membentuk perpaduan.
Asas yang dimaksudkan itu ialah fikrah yang berteraskan akidah dan syariat serta syiar Islam.Tidak disebut bahawa untuk berpadu semua pihak dari kalangan umat Islam mesti menjauhi syirik dalam semua bentuk.Tok tok Bomoh yang syirik mesti dijauhi dan dibenteras dan amalan amalan menggunakan perkhidmatan bomoh yang syirik termasuk perkhidmatan yang diberikan oleh bomoh bomoh syirik kepada ahli ahli politik tertentu mesti dihentikan segera.Begitu juga tentang syariat Islam yang kelihatan terabai dan dilanggari secara konsistan oleh setengah umat dengan kebenaran kerajaan perlu dibenteras segera seandainya benar benar seruan perpaduan ini ingin direalisasikan.Syiar Islam pula perlu diperluaskan, jadi seruan DJ Radio IKIM agar rakyat memenuhi ruang ruang yang ada untuk sambuatn Maal Hijrah sepatutnya disertai dengan seruan untuk menzahirkan syiar yang lebih banyak agar Islam dapat dilihat sebagai agama resmi Negara.
Apa yang boleh didengar ialah seruan kepada rakyat marhaen supaya menghindari perkara perkara yang boleh merosakkan perpaduan, agar menyebarkan salam tetapi budaya bersalam salaman antara lelaki perempuan yang bukan mahram yang menjadi amalan biasa para pemimpin dan penyokong kerajaan tidak langsung disebut.Rakyat marhaen juga diajak supaya meningkatkan perpaduan menerusi penyediaan makanan kepada umum bagi yang mampu, menerusi penyambungan silaturahhim yang terputus dan berqiamualai seperti mana termaktub dalam sebuah Hadis riwayat Tarmizi.Seruan ini baik tetapi tidak seharusnya dihadkan kepada rakyat sahaja tetapi mesti ditujukan kepada kerajaan dan peneraju kerajaan juga kerana perpaduan yang hendak dicapai turut melibatkan kerajaan dan penerajunya.Oleh itu kalau rakyat marhaen yang berubah dan berusaha untuk berpadu tetapi kerajaan terus dengan sikap degil mereka kepada perkara perkara yang melibatkan akidah, syariat dan syiar, sudah pasti perpaduan yang hendak dicapai itu akan menjadi sia sia seperti sia sianya perpaduan yang pernah dibuat oleh PAS dan UMNO dulu.
Oleh itu, semua pihak yang terlibat dengan seruan perpaduan ini seharusnya mengambil tindakan yang lebih berani untuk menegur kerajaan dan peneraju kerajaan serta parti parti pembangkang kalau perlu.Penyebar seruan perpaduan harus berani seperti ditegaskan oleh baginda Nabi dalam satu Hadis yang bermaksud "Katakan yang benar sekalipun pahit".Kalau penyebar penyebar perpaduan ini tidak sanggup berbuat demikian adalah lebih baik mereka diam sahaja dan menyokong usaha usaha yang dilakukan oleh pihak lain yang tidak terlibat dengan kerajaan tetapi kalau jawabannya, mereka terpaksa kerana makan gaji dengan kerajaan, fikirlah sendiri apa yang bakal mereka hadapi ketika berdepan dengan mahkamah ALLAH nanti.
Perpaduan juga perlukan mekanisma.Mekanisma yang paling berkesan ialah dengan memiliki sebuah kerajaan yang prihatin dengan keselesaan rakyat.Barang barang keperluan disediakan dan boleh dimiliki rakyat tanpa membebankan, pendidikan disediakan secara meluas dan percuma, kesihatan rakyat dijaga dengan baik dan pasarana kemudahan awam diadakan dengan tidak mengakibatkan kesukaran di pihak rakyat.Inilah mekanisma yang mampu membawa rakyat bersatu, hormat menghormati antara satu sama lain kerana keadilan dinikmati oleh semua tanpa mengira bangsa agama dan latarbelakang budaya.Namun semua perkara ini masih menjadi mimpi bagi rakyat Malaysia sesudah lebih 50 tahun merdeka.Oleh itu penyebar seruan perpaduan perlu memasukkan silibus mekanisma perpaduan dalam setiap seruan, ceramah, kuliah dan khutbah mereka.
Rakyat harus disedarkan agar memilih kerajaan yang prihatin sewaktu pilihanraya kerana sistem demikrasi yang negara amalkan memberi rakyat kuasa memilih dan rakyat harus diberi ruang untuk menilai gerak kerja kerajaan yang ada hari ini yang yang telah menaikan harga minyak, LPG dan gula di ambang sambutan Maal Hijrah sementara air juga mahu dijadikan bahan menindas rakyat.
Inilah asas sebenar kepada perpaduan yang tertinggal dan kalau asas yang penting ini ditinggalkan terus kepada seruan perpaduan maka samalah membancuh kopi tanpa gula atau menyediakan nasi tanpa lauk dan bakal menjadi sia sia.Dan sambutan Maal Hijrah hanyalah satu retorika yang hanya menghabiskan wang rakyat
No comments:
Post a Comment