Monday, December 6, 2010

Perpaduan tanpa asas

Assalamualaikum,

Hari ini, tema Maal Hijrah, 1Malaysia 1Ummah dicanangkan ke seluruh negara.Para Ustaz kerajaan(yang makan gaji dengan kerajaan) dikerah untuk memberi kuliah, DJ radio IKIM diperah untuk meluaskan promosi mengenai Maal Hjrah dan perpaduan umah.Tak ketinggalan khutbah khutbah jumaat yang bertajuk 1Malaysia, 1Ummah dibaca di masjid masjid dan media arus perdana dimanupulasikan sepenuhnya untuk mengajak rakyat bersatu dan berpadu tanpa mengira bangsa, agama dan latarbelakang budaya.Tokoh tokoh tertentu seperti ketua pengarah IKIM digunakan sebaik mungkin untuk bercakap mengenai perpaduan.

Nampak bersungguh sungguh kerajaan mahukan perpaduan tetapi malangnya tiada penjelasan dan tiada perbincangan yang komprehensif didengar mengenai asas perpaduan yang hendak digunapakai.Perpaduan  ini kalaupun berjaya dibentuk boleh diibaratkan seperti satu binaan konkrit yang tidak mempunyai tulang besi yang akan runtuh pada bila bila masa.Penyertaan PAS dalam BN satu ketika dulu menjadi bukti nyata bilamana perpaduan yang tidak mempunyai asas yang dipersetujui bersama akhirnya berkecai.

Oleh itu, agak menghairankan bilamana kerajaan yang ada hari ini tidak belajar dari  kesilapan lampau dan masih bertegas dengan bentuk perpaduan yang sama dan mengecewakan apabila mendengar kuliah kuliah  para ustaz dan syarahan tokoh tokoh yang diiktiraf kerajaan serta khutbah oleh tok tok khatib masjid kerajaan yang banyak kali membaca Hadis dan ayat ayat Al Quran tetapi kelu untuk memperkatakan mengenai asas yang perlu untuk membentuk perpaduan.

Asas yang dimaksudkan itu ialah fikrah yang berteraskan akidah dan syariat serta syiar Islam.Tidak disebut bahawa untuk berpadu semua pihak dari kalangan umat Islam mesti menjauhi syirik dalam semua bentuk.Tok tok Bomoh yang syirik mesti dijauhi dan dibenteras dan amalan amalan menggunakan perkhidmatan bomoh yang syirik termasuk perkhidmatan yang diberikan oleh bomoh bomoh syirik kepada ahli ahli politik tertentu mesti dihentikan segera.Begitu juga tentang syariat Islam yang kelihatan terabai dan dilanggari secara konsistan oleh setengah umat dengan kebenaran kerajaan perlu dibenteras segera seandainya benar benar seruan perpaduan ini ingin direalisasikan.Syiar Islam pula perlu diperluaskan, jadi seruan DJ Radio IKIM agar rakyat memenuhi ruang ruang yang ada untuk sambuatn Maal Hijrah sepatutnya disertai dengan seruan untuk menzahirkan syiar yang lebih banyak agar Islam dapat dilihat sebagai agama resmi Negara.

Apa yang boleh didengar ialah seruan kepada rakyat marhaen supaya menghindari perkara perkara yang boleh merosakkan perpaduan, agar menyebarkan salam tetapi budaya bersalam salaman antara lelaki perempuan yang bukan mahram yang menjadi amalan biasa para pemimpin dan penyokong  kerajaan tidak langsung disebut.Rakyat marhaen juga diajak supaya meningkatkan perpaduan menerusi penyediaan makanan kepada umum bagi yang mampu, menerusi penyambungan silaturahhim yang terputus dan berqiamualai seperti mana termaktub dalam sebuah Hadis riwayat Tarmizi.Seruan ini baik tetapi tidak seharusnya dihadkan kepada rakyat sahaja tetapi mesti ditujukan kepada kerajaan dan peneraju  kerajaan juga kerana perpaduan yang hendak dicapai  turut melibatkan kerajaan dan penerajunya.Oleh itu kalau rakyat marhaen yang berubah dan berusaha untuk berpadu tetapi kerajaan terus dengan sikap degil mereka kepada perkara perkara yang melibatkan akidah, syariat dan syiar, sudah pasti perpaduan yang hendak dicapai itu akan menjadi sia sia seperti sia sianya perpaduan yang pernah dibuat oleh PAS dan UMNO dulu.

Oleh itu, semua pihak yang terlibat dengan seruan perpaduan ini seharusnya mengambil tindakan yang lebih berani untuk menegur kerajaan dan peneraju kerajaan serta parti parti pembangkang kalau perlu.Penyebar seruan perpaduan harus berani seperti ditegaskan oleh baginda Nabi dalam satu Hadis yang bermaksud "Katakan yang benar sekalipun pahit".Kalau penyebar penyebar perpaduan ini tidak sanggup berbuat demikian adalah lebih baik mereka diam sahaja dan menyokong usaha usaha yang dilakukan oleh pihak lain yang tidak terlibat dengan kerajaan tetapi kalau jawabannya, mereka terpaksa kerana makan gaji dengan kerajaan, fikirlah sendiri apa yang bakal mereka hadapi ketika berdepan dengan mahkamah ALLAH nanti.

Perpaduan juga perlukan mekanisma.Mekanisma yang paling berkesan ialah dengan memiliki sebuah kerajaan yang prihatin dengan keselesaan rakyat.Barang barang keperluan disediakan dan boleh dimiliki rakyat tanpa membebankan, pendidikan disediakan secara meluas dan percuma, kesihatan rakyat dijaga dengan baik dan pasarana kemudahan awam diadakan dengan tidak mengakibatkan kesukaran di pihak rakyat.Inilah mekanisma yang mampu membawa rakyat bersatu, hormat menghormati antara satu sama lain kerana keadilan dinikmati oleh semua tanpa mengira bangsa agama dan latarbelakang budaya.Namun semua perkara ini masih menjadi mimpi bagi rakyat Malaysia sesudah lebih 50 tahun merdeka.Oleh itu penyebar seruan perpaduan perlu memasukkan silibus mekanisma perpaduan dalam setiap seruan, ceramah, kuliah dan khutbah mereka.

Rakyat harus disedarkan agar memilih kerajaan yang prihatin sewaktu pilihanraya kerana sistem demikrasi yang negara amalkan  memberi rakyat kuasa memilih dan rakyat harus diberi ruang untuk menilai gerak kerja kerajaan yang ada hari ini yang yang telah menaikan harga minyak, LPG dan gula di ambang sambutan Maal Hijrah sementara air juga mahu dijadikan bahan menindas rakyat.

Inilah asas sebenar kepada perpaduan yang tertinggal dan kalau asas yang penting ini ditinggalkan terus kepada seruan perpaduan maka samalah membancuh kopi tanpa gula atau menyediakan nasi tanpa lauk dan bakal menjadi sia sia.Dan sambutan Maal Hijrah hanyalah satu retorika yang hanya menghabiskan wang rakyat

Sunday, December 5, 2010

Hijrah menegakkan kebenaran.

Assalamualaikum,

 Hijrah disambut setiap tahun dan dijadikan acara tahunan rasmi di negara kita.Setiap tibanya Maal Hijrah, perhimpunan rasmi yang dianjurkan pemerintah akan diadakan tetapi kemudiannya kehidupan harian negara kembali kepada sistem asal yang terlalu jauh dari panduan carahidup Islam dan terlalu jauh dari semangat Hijrah itu sendiri.

 
 Di ambang tibanya 1 Muharram, masjid masjid kerajaan akan mengadakan bacaan yasin, doa akhir tahun dan doa awal tahun akan dibaca dengan penuh semangat serta kuliah Maal Hijrah turut diberikan oleh para ustaz ustaz yang penuh dengan kisah dan pengajaran Hijrahtul Nabi tetapi sesudah itu kehidupan kembali seperti biasa tanpa adanya kebangkitan yang terkesan untuk melakukan Hijrah sesuai dengan semangat Hijrahtul Nabi, tidak adanya tekad untuk menghidupkan semula piagam Madinah walaupun dikisahkan bagaimana piagam Madinah itu berjaya menghidupkan sebuah negara yang patut taat kepada ALLAH.


Setiap tahun, tokoh Maal Hijrah akan dipilih dan menerima berbagai bagai hadiah termasuk hadiah wang tunai(dari duit rakyat), tetapi sesudah itu tokoh yang dipilih akan menghilangkan diri, tidak  kedengaran suara dari tokoh Maal hijrah yang dinobatkan untuk menyeru umat untuk kembali kepada semangat Maal Hijrah.

Inilah budaya yang sedang berjalan di negara kita sejak bertahun tahun lalu.Maal Hijrah hanya disambut sebagai satu acara sahaja seperti acara acara lain sedangkan usaha sebenar untuk mengajak umat kembali melakukan Hijrah tidak diberikan penekanan oleh pihak berwajib.Oleh itu, menjadi tugas dan tanggungjawab umat yang sayangkan agama, yang ingatkan mati dan yang benar benar ingin melihat generasi anak anak terbela dan dibela oleh agama, tampil mengajak umat untuk kembali melakukanHijrah tanpa perlu mengambil kisah dengan apa yang dilaksanakan kerajaan.

Hijrah yang diperlukan untuk menyatakan dan mempertahankan kebenaran sebagaimana dikehendaki oleh AL Quran dan Al Sunnah.Ini bermakna rakyat yang sudah lama dihidangkan dengan kebatihlan dan kezaliman pemerintah  perlu bangkit melakukan Hijrah daripada menerima kebathilan dan kezaliman tersebut kepada menegakkan kebenaran.Rakyat yang sudah lama dihidangkan dengan kelalaian dan kemewahan hiburan yang melampau perlu bangkit berhijrah kepada kehidupan yang terpandu dengan panduan hidup Islam dan menyatakan penentangan secara terbuka dan kolektif kepada perkara perkara yang melalaikan ini serta perkara perkara kemaksiatan dan kemungkaran yang tidak dipandang penting oleh kerajaan hari ini.

Hijrah juga diperlukan untuk meninggalkan jemaah jemaah yang mungkar dan zalim kepada jemaah jemaah yang ikhlas dan taat patut kepada perintah ALLAH.Semua jemaah yang gemar menghidupkan penipuan, gemar kepada budaya tindas menindas,cantas mencantas, zalim menzalimi sehingga sanggup mengadakan tuduhan tuduhan yang tidak benar dan mengaibkan seharusnya ditinggalkan segera.Sebaliknya, jemaah jemaah yang jujur, ikhlas dan istiqamah kepada panduan agama perlu disertai sekarang.

Inilah antara jaluran perlakuan yang perlukan Hijrah segera dari kalangan umat Islam negara.Tiada kompromi atau pilihan kepada umat yang benar benar ikhlas untuk tergolong di kalangan "orang orang beriman" seperti difirmankan ALLAH dalam Al Quran.